1.Tetapkan matlamat dan pantau kemajuan diri

Penetapan matlamat yang jelas adalah sangat penting kerana ia mampu meningkatkan motivasi kendiri. Pastikan matlamat yang anda tetapkan adalah munasabah dan boleh dicapai.

Strategi ini boleh diaplikasi ketika anda ingin mengulangkaji pelajaran. Contohnya, anda menetapkan tempoh masa selama dua hari untuk menghabiskan satu bab dari mata pelajaran Sejarah yang mengandungi lima subtopik.

Kemudian, kenal pasti kaedah yang boleh digunakan untuk memantau kemajuan.

Pemantauan boleh dilakukan dengan cara mencatat kemajuan secara manual atau menggunakan aplikasi sedia ada. Menerusi cara ini, anda akan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat kerana kemajuan diri dapat dilihat dari masa ke semasa.

2. Dapatkan maklum balas guru sebelum menghantar tugasan

Mendapatkan maklum balas daripada guru sebelum menghantar tugasan akan memberi peluang untuk anda membuat penambahbaikan mengikut jangkaan mereka.

Maklum balas adalah kunci utama dalam membantu anda mencapai objektif tugasan supaya dapat menghasilkan tugasan yang berkualiti tinggi. Tugasan begitu mempunyai potensi yang lebih besar untuk mendapat markah tinggi.

Secara tidak langsung, anda akan kekal bermotivasi untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan diberikan oleh guru.

 

3. Kekal berhubung dengan rakan sekelas

Sentiasa kekal berhubung dengan rakan sekelas untuk berkongsi mengenai hal-hal berkaitan pelajaran.

Anda dan rakan sekelas boleh mencipta kumpulan di laman atau aplikasi sosial seperti Facebook dan WhatsApp dan digunakan sebagai medium untuk berkongsi perkara penting yang digariskan oleh guru dalam proses pembelajaran.

Selain itu, kumpulan ini juga boleh menjadi sumber kepada sokongan moral. Jika anda tidak begitu jelas mengenai sesuatu perkara berkaitan mata pelajaran yang diajar oleh guru, anda boleh bertanya kepada rakan-rakan di dalam kumpulan itu.

Strategi ini akan membuatkan anda tidak berasa keseorangan dan ketinggalan kerana kekal berhubung dengan rakan sekelas walaupun secara maya. Selain itu, keraplah mengulangkaji pelajaran dengan rakan-rakan misalnya, menjawab kuiz supaya sesi ulangkaji lebih menyeronokkan.

 

4. Amalkan rutin dan gaya hidup sihat

Tetapkan rutin harian supaya kehidupan anda lebih teratur. Rutin tidak semestinya membosankan, malahan ia boleh menjadi lebih seronok jika anda bijak mengatur.

Walaupun anda bakal menduduki peperiksaan besar pada tahun ini, tidak bermakna rutin harian anda hanya perlu fokus kepada mengulangkaji pelajaran sepanjang hari. Anda boleh memasukkan aktiviti riadah dan sukan dalam rutin harian. Selain itu, anda juga boleh meluangkan sedikit masa untuk melakukan hobi yang anda gemari.

Menjalani rutin hidup yang menyeronokkan mampu membawa pelbagai kebaikan kepada diri anda. Ia juga dapat mengurangkan kebimbangan dan seterusnya membantu memperbaiki tahap kesihatan mental supaya menjadi lebih baik.

Selain menjalani rutin harian yang teratur, adalah amat penting bagi seorang pelajar untuk mengamalkan gaya hidup sihat yang merangkumi penjagaan dari segi fizikal, mental dan spiritual.

Mengamalkan diet seimbang, memastikan mendapat tidur yang cukup, dan sentiasa berusaha untuk mengawal emosi adalah antara amalan gaya hidup sihat yang boleh anda praktikkan.

 

5. Jaga hubungan baik dengan ibu bapa, ahli keluarga dan orang sekeliling

Menjaga hubungan baik dengan ibu bapa amatlah penting supaya anda sentiasa memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Selain itu hubungan baik dengan ahli keluarga, orang sekeliling termasuklah guru dan rakan-rakan juga perlu dititikberatkan.

Hubungan baik yang terjalin akan membuatkan anda berasa lebih tenang untuk menjalani kehidupan. Ketenangan adalah kemenangan pertama, dan ia mampu menyuntikkan aura positif dalam diri.

Secara tidak langsung ini akan mempengaruhi cara anda berfikir, menilai dan bertindak balas kepada sesuatu perkara. Hasilnya, anda akan lebih mudah menerima pelajaran yang diajarkan guru dan lebih bersemangat untuk menjalani proses pembelajaran.